KLANG – Seorang penuntut kolej Universiti Selangor (Unisel) maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Raja Muda dari arah Klang menghala ke Pelabuhan Klang, dekat sini, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali Shahril Azeze Rosli, 20, maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi, mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 dikatakan terbabas selepas motosikalnya hilang kawalan.

Menurutnya, mangsa yang terjatuh telah dilanggar sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah sama.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, keterangan pemandu kereta berusia 33 tahun telah diambil bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SINAR HARIAN