Berbeza dengan Pokemon Go yang memerlukan pemainnya keluar memburu pokemon di merata tempat, permainan Pokemon hanya berlangsung dalam satu kawasan sahaja dan boleh dipertandingkan.

Menariknya, menerusi per­tan­dingan Pokemon, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan teknologi terkini tetapi turut dilatih agar berupaya membuat keputusan te­pat da­lam menyelesaikan masalah.

Baru-baru ini berlangsung Pertandingan Permainan Video Pokemon Terbuka Malaysia 2017 di Plaza Shah Alam bagi mencari peserta terbaik untuk dihantar ke pertan­dingan akhir Amerika Syarikat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Pertandingan itu dianjurkan secara bersama oleh Team Pika, Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Shah Alam serta Pemuda UMNO Shah Alam.

Pada pertandingan itu pemenang bahagian master diungguli Joel Lee manakala bahagian junior dimenangi Adam Farhan apabila berjaya mengumpul mata tertinggi dalam kategori masing-masing.

Pemilik Francais Pertan­dingan itu, Wilson Chong berkata, permainan Pokemon semakin digilai golo­ngan remaja dan atas keprihatinan itu, pihaknya tampil menganjurkan pertandingan.

“Sambutan yang ditunjukkan golongan muda di Malaysia amat menggalakkan dan ini selari dengan minat mereka terhadap permainan video bukan sahaja melibatkan Pokemon tetapi yang lain-lain juga.

“Apa yang kami anjurkan ini adalah salah satu platform memberikan sesuatu berfaedah dan pada masa yang sama mengelakkan mereka terjebak dalam perkara-perkara negatif,” katanya. – Utusan Online