Ketua Pegawai Eksekutif Mediu, Prof. Dr. Mohammad Khalifa Al-Tamimi berkata, akhbar berkenaan dalam satu artikelnya Jumaat lepas (16 Disember) mendakwa kononnya universiti itu menyemai rasa benci dan sesat selain mendakwa pengiktirafannya telah ditarik balik.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi akhbar berkenaan pada hari artikel itu disiarkan tetapi mendakwa penjelasannya dimanipulasi oleh pihak berkenaan.

“Saya ingin tegaskan di sini Mediu tidak mempunyai mata pelajaran (silibus) yang menghalalkan darah individu yang tidak sependapat dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Semua pendapat alim ulama tersohor Ahli Sunnah Wal Jamaah diiktiraf dan menjadi rujukan para pelajar di sini.

“Tuduhan yang disiarkan oleh akhbar itu adalah tidak benar dan bersifat jahat. Akhbar berkenaan juga tidak menghubungi Mediu bagi mendapatkan penjelasan sebelum menyiarkan artikel berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kenyataan dalam bahasa Arab itu diterjemahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Kajian dan Pembangunan Mediu, Prof. Madya Dr. Ab. Rahim Ismail.

Mohammad Khalifa berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan akhbar berkenaan yang mendakwa terdapat kandungan silibus di Mediu yang radikal termasuk menghalalkan darah mereka yang tidak sependapat dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tambah beliau, pihaknya juga tidak pernah menerima surat yang menyatakan bahawa pengiktirafan universiti itu ditarik balik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Malah sehingga kini, sebanyak 70 daripada 118 program dan kursus dari peringkat ijazah hingga doktor falsafah di Mediu mendapat akreditasi penuh daripada MQA,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh ketika mengulas mengenai dakwaan akhbar berkenaan berkata, buat masa ini Mediu boleh beroperasi seperti biasa seperti yang diiktiraf MQA.

“Yang tarik pengiktirafan itu MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) sahaja tetapi kita (akan) dapatkan maklumat lanjut,” kata Idris.

Mengulas mengenai penarikan pengiktirafan oleh MAIS, Mohammad Khalifa berkata, Mediu sentiasa mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak MAIS.

“Kami juga sedang melakukan beberapa pengubahsuaian dalam kursus kami supaya selaras dengan nasihat yang diberi oleh MAIS.

“Segala kritikan yang kami terima daripada panel akademik yang dilantik MAIS juga tidak mengatakan ada unsur menghalalkan darah individu yang tidak sependapat dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya. – BERNAMA